Sabtu, 30 April 2011

MEDITASI DALAM AGAMA BUDDHA

3.0 Meditasi
3.1 Definisi Meditasi
Meditasi menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu ditakrifkan sebagai perbuatan duduk kerana menumpukan sepenuh fikiran terhadap sesuatu dengan mendalam iaitu perbuatan bertafakur dari awal subuh hingga ke pagi. Apabila seseorang terlalu asyik memikirkan berkenaan sesuatu perkara, maka perasaan bimbang, tekanan dan emosi-emosi negatif akan lenyap. Ia adalah meditasi yang diistilahkan sebagai teknik relaksi hipometabolik iaitu tidak menggunakan tenaga fizikal yang tinggi untuk mengatasi emosi.
Menurut Eksiklopedia Malaysiana pula meditasi ialah penumpuan fikiran terhadap sesuatu objek, satu perkataan atau satu idea dengan harapan untuk mencetuskan satu keadaan yang berubah pada diri tidak sedar seseorang.
Meditasi adalah satu teknik yang menjadi amalan sejak beribu-beribu tahun dahulu, dan masih popular sehingga sekarang bagi mereka yang mengalami sindrom stress. Ia merupakan satu teknik apabila seseorang memberikan sesuatu tumpuan, atau fokus perhatian kepada sesuatu perkara atau benda, pada satu-satu masa atau keadaan.
3.2 Pengaruh Dan Asal Usul Meditasi
Asasnya amalan meditasi ini mempunyai hubungkait dengan kepercayaan agama Hindu. Namun begitu, meditasi bukanlah merupakan suatu ajaran agama. Sebaliknya merupakan suatu sistem psiko-fisiologi yang mengandungi teknik yang berhubung dengan kerohanian. Ia adalah salah satu daripada teknik-teknik penenang jiwa yang menjadi amalan sejak beribu-ribu tahun dahulu.
Meditasi juga disebut dalam kitab terawal Brahmanisme iaitu Rig Veda yang banyak menyentuh tentang amalan ini yang dikenali sebagai Dhayana dan Samadhi. Dari segi sejarah pemikiran meditasi, seorang orientalis Perancis, bernama Robert Linsen mengatakan bahawa sebahagian besar pemikiran masyarakat India muncul hasil dari percampuran antara dua unsur iaitu yoga yang merupakan perbuatan meditasi yang ditemui sebelum zaman Veda dan Brahmanisme yang bermula pada zaman Veda, Upanishad dan Vedanta. Ini dapat dibuktikan dengan artifak yang ditemui di lembah Sungai Indus. John Marshal pula telah menemui seramik yang berusia lebih kurang 5000 tahun yang menunjukkan seorang yogi melakukan meditasi.
Selain itu, terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa meditasi dipelopori oleh kaum Yogis dari India yang mengamalkan teknik-teknik yoga. Dalam masa yang sama, ia juga dipelopori oleh sami-sami Zen dari Jepun. Cara yang mereka gunakan dalam meditasi ini mempunyai beberapa persamaan dan perbezaan. Bagi sami-sami yang berpegang kepada ajaran dan falsafah hidup Zen ini, tujuan utama mereka melakukan meditasi ialah untuk mendapatkan ketenangan jiwa dan bermuhasah diri sendiri. Mereka akan menumpukan kepada kekosongan iaitu dengan menumpukan sesuatu bagi mencapai apa yang dinamakan sebagai kesucian jiwa. Sejarah meditasi didalam agama Buddha, apabila Gautama telah menyatakan terdapat satu amalan dalam meditasi yang mengubah hidupnya.
3.3 Jenis-Jenis Meditasi
Meditasi merupakan salah satu praktikal yang menjadi amalan sejak beribu-ribu tahun dahulu dan sehingga sekarang praktikal ini masih diamalkan oleh segolongan masyarakat khususnya bagi mereka yang mengalami stress. Terdapat banyak jenis meditasi yang dipraktikkan, berdasarkan prinsip-prinsip yoga. Ia adalah gabungan antara faktor stimulasi dan kesedaran seperti tenaga, siasatan dan kepercayaan. Tumpuan, ketenangan, dan ketenteraman adalah perlu bagi mengimbangi gabungan tersebut. Tambahan pula meditasi ini mempunyai pelbagai teknik dan kaedah yang boleh dipilih mengikut kesesuaian.
Menurut Bogart (1991) dan Perez De Albeniz dan Holmes (2000) teknik yang berbeza dalam meditasi dapat dikelaskan mengikut pemfokusan yang tertentu. Sesetengah pemfokusan berlatarbelakangkan pengalaman dan persepsi tertentu yang disebut “mindfulness meditation”. Pemfokusan yang lain juga diarahkan kepada suatu objek yang spesifik yang disebut sebagai “concetrative meditation.
3.3.1 Meditasi penumpuan
Meditasi ini juga dikenali sebagai meditasi pernafasan. Meditasi ini berlandaskan penumpuan dan pemusatan sepenuhnya kepada pernafasan, imej dan bunyi (mantra) dalam usaha menstabilkan minda dan fikiran untuk memberikan kesedaran serta kejelasan kepada diri. Ia juga merujuk kepada tumpuan pergerakan pernafasan, iaitu konsep penarikan dan penghembusan nafas melalui rongga hidung, seterusnya ke paru-paru serta pergerakan turun dan naik tulang rusuk ketika pernafasan berlaku.
Dalam meditasi penumpuan, teknik duduk diam dalam kedudukan bersila dan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pernafasan adalah praktikal yang paling mudah diamalkan. Dipercayai meditasi ini merupakan satu fungsi hubungan yang terus menerus diantara sesuatu pernafasan dengan minda atau fikiran.
Contohnya, jika seseorang yang berada dalam kebimbangan, ketakutan, kebingungan, maka pernafasan seseorang itu akan menjadi tidak stabil, cepat dan tidak teratur. Tetapi apabila individu tersebut kembali tenang dan damai, maka cara pernafasan mereka kembali stabil. Penumpuan terhadap irama dan rentak dalam setiap sedutan dan hembusan nafas juga akan melengkapkan praktikal-praktikal meditasi yang dapat membangkitkan ketenangan dan kedamaian.
3.3.2 Meditasi sepenuh perhatian
Menurut Dr. Borysenko, meditasi ini atau meditasi renungan yang digunakan adalah untuk membuka fikiran atau perhatian sepenuhnya dalam keadaan sedar secara berterusan dan dipenuhi dengan perasaan, bayangan, bunyi, bau tanpa memikirkan sesuatu atau objek.
Contonhya, seseorang yang duduk secara senyap dan tidak mengendahkan apa-apa yang terlintas di fikiran, tidak melibatkan sama ada dalam bentuk tindakan memikirkan, mengingat, kebimbangan atau membayangkan sesuatu atau objek. Tindakan ini akan dapat membantu untuk mendapatkan ketenangan yang lebih, kedamaian yang jelas serta dapat mengosongkan fikiran.
2.4 Meditasi Dalam Agama Buddha
Antara bentuk meditasi yang terdapat dalam agama Buddha ialah meditasi samatha dan vipassana. Kedua-duanya berbentuk pembelajaran untuk memfokuskan perhatian. Secara umumnya, bagi penganut agama Buddha, untuk memperolehi peringkat meditasi yang tertinggi dan terbaik ia seharusnya dilakukan dibawah pokok Bodhi seperti Gauthama Buddha yang memperolehi cahaya kebenaran di bawah pokok tersebut.
Perkataan meditasi berasal daripada perkataan Bhavana yang bermaksud budaya atau perkembangan pemikiran. Ia merupakan jalan utama untuk seseorang itu memahami dirinya serta pendekatan fizikal kepada budaya latihan dan pembersihan mental. Dalam ajaran Buddha, meditasi digunakan untuk pembentukkan mental dan pembangunan spiritual. Penganut agama Buddha menganggap bahawa mereka tidak mampu mencapai tahap Nirwana tanpa membangunkan minda melalui proses meditasi.
Terdapat banyak teknik dalam melakukan meditasi. Sebahagiannya diajarkan oleh Buddha sendiri dan sebahagiannya pula adalah hasil rekaan guru-guru yang datang kemudian. Secara keseluruhannya, teknik ini boleh dibahagikan kepada dua. Pertama, teknik kesempurnaan penumpuan atau renungan yang baik (Samma samadhi). Samadhi bererti mengumpul atau membawa bersama yang merujuk kepada penumpuan atau pembersihan pemikiran. Ia bereti menumpukan pemikiran kepada sesuatu perkara sahaja. Dengan ini, pemikiran dan seluruh anggota akan menjadi tenang. Cara ini juga dikenali dengan “Teknik Ketenangan” (Samatha Bhavana)
Kedua kesempurnaan pemikiran atau ingatan yang betul (Samma sati). Perkataan Sati bermakna ingatan, kenangan atau hati-hati. Seorang sangha yang terkenal bernama Nyanaponika menyatakan bahawa ingatan di sini bermaksud mengingat apa yang berlaku ke atas diri dan dalam diri seseorang. Ia juga bermaksud kepekaan dalam melihat melalui pemikiran kedalam diri sendiri dan pengalaman terhadap apa yang telah berlaku. Teknik ini juga dikenali sebagai teknik kefahaman atau pengertian(Vipassana Bhavana).
Kebanyakkan masalah yang dihadapi oleh manusia berpunca dari pemikiran yang tidak dilatih dan dibentuk. Akibatnya, imaginasi dan emosi menguasai diri menyebabkan mereka melakukan kejahatan serta menjadi hamba kepada perasaan. Jadi, meditasi dilakukan bertujuan untuk menggembalikan pemikiran kepada keadaan yang penuh dengan kesedaran melalui proses pembersihan segala halangan yang lahir dari tabiat semulajadi dan tradisi. Untuk mengamalkan meditasi, seseorang mestilah mempunyai kekuatan azam, usaha dan kesabaran serta tidak boleh mengharapkan hasil yang segera. Dalam melaksanakan meditasi, pengamalnya mestilah mempunyai satu objek kerana tanpanya pemikiran akan mudah di pengaruhi oleh unsur-unsur lain. Sebahagian daripada mereka menjadikan patung Buddha sebagai objek dan menumpukan pemikiran kepadanya. Manakala setengahnya pula memberikan tumpuan kepada pergerakan nafas mereka.
Apabila seseorang itu melakukan meditasi, mereka sebenarnya mengalihkan pemikiran serta cara berfikir dari tabiat yang lama kepada cara yang baru. Pengamal meditasi menghabiskan masa dengan memberikan penumpuan yang lebih kepada anggota badan melalui cara membersih, merehat dan memperelokkannya. Ada juga dalam kalangan pengamal meditasi menggunakan amalan ini untuk memenuhi kehendak duniawi seperti untuk mendapatkan pekerjaan yang baik, wang yang banyak atau berjaya dalam perniagaan yang dijalankan. Amalan seperti ini menyimpang dari tujuan sebenar meditasi kerana ia bukanlah jalan untuk memenuhi keinginan hawa nafsu, sebaliknya bertujuan untuk mengawal keinginan hawa nafsu dan kehendak duniawi seseorang.
Kesan daripada meditasi (Anussati) akan melahirkan sepuluh perkara iaitu ingatan kepada Buddha (Buddhanussati), ingatan kepada dhamma (dhamma-nussati), ingatan kepada sangha (sanghanussati), ingatan kepada adab (silanussati), ingatan kepada kemurahan hati (Caganussati), ingatan kepada dewa (Devanussati), ingatan kepada pernafasan (anapanasati), ingatan kepada kematian (marananussati), ingatan kepada tubuh badan (kayagatasi) dan ingatan kepada ketenangan atau kesejahteraan (upasamanussati).
2.5 Cara Melakukan Meditasi
Menurut Buddha terdapat empat cara untuk melakukan meditasi antaranya ialah dengan cara berdiri, berjalan, duduk dan berbaring. Secara kebiasaannya, meditasi dilaksanakan secara duduk. Meditasi secara duduk dilakukan dengan cara bersila di lantai yang beralas, dengan meletakkan kaki kanan atas kaki kiri atau dalam posisi bersila. Terdapat beberapa teknik meditasi secara umumnya antaranya ialah:
2.5.1 Teknik meditasi transcendental
Secara umumnya, meditasi transcendental yang diperkenalkan dan dipopularkan oleh Maharishi Mahesh Yogi. Walaubagaimanapun , teknik menjalani latihan ini menjadi suatu rahsia. Sesiapa yang berminat mempelajarinya haruslah mendapat latihan daripada seorang mahaguru yang bertauliah. Secara umunya kaedah meditasi transendental ini diamalkan melalui dua cara iaitu duduk dalam keadaan santai dan tenang dan melalui penggunaan bunyi bunyian yang diulang beberapa kali yang dikenali sebagai mantra. Secara terperincinya, kaedah dalam amalan meditasi transcendental ialah denga cara berikut:
a. Duduk diam (dalam keadaan selesa dan tiada gangguan)
b. Tutupkan kedua-dua belah mata (kalau boleh)
c. Relakskan otot, dari kaki ke muka
d. Bernafaslah melalui hidung dengan perlahan. Rasai udara memasuki hidung. Sebaik sahaja menghembuskan nafas keluar melalui hidung, katakana perkataan ‘satu’. Ulang lagi langkah ini beberapa kali ‘satu’ (tarik dan keluarkan nafaz secara perlahan-lahan)
e. Biarkan fikiran menjelajah atau meneroka alam semesta ini dengan memikirkan sesuatu yang indah dan mengembirakan.
f. Sebaik-baik sahaja sedar daripada membuat penerokaan fikiran ini kembali semula kepada rangsangan asal iaitu perkataan ‘satu’.
g. Selepas beberapa ketika, duduk diam dan secara perlahan-lahan buka mata sebaik-baik sahaja relaks, ringan dan tenang.
h. Ulang langkah 1 hinga 7 jika perlu sekali lagi.
3.5.2 Teknik meditasi buka tingkap
a. Duduk dalam keadaan tenang dan santai di tempat sunyi (dalam keadaan kedudukan belakang agak lurus, kepala di sengetkan sebelah dan kehadapan, tangan diletakkan diatas riba serta mata ditutup.
b. Dalam keadaan pasif dan tidak memberikan tindak balas terhadap pemikiran.
c. Fokuskan kepada pernafasan. Perhatikan setiap sedutan dan hembusan nafas. Bernafazlah secara perlahan, dengan mendalam dan secara tetap dalam masa 5 minit.
3.5.3 Teknik meditasi Cahaya gemilang
a. Duduk dalam keadaan tenang dan santai di tempat sunyi (dalam keadaan kedudukan belakang agak lurus, kepala di sengetkan sebelah dan kehadapan, tangan diletakkan diatas riba serta mata ditutup).
b. Fokuskan kepada pernafasan dengan bernafaslah mendalam dan ambil masa yang lama untuk hembuskannya. Bayangkan diri berada dalam keadaan santai dan bukan dalam keadaan tertekan.
c. Seterusnya fikirkan suatu cahaya yang berseri, gemilang dan menyerlah yang lembut dan mendamaikan.
3.5.4 Teknik meditasi tong sampah
a. Duduk dalam keadaan tenang dan santai di tempat sunyi (dalam keadaan kedudukan belakang agak lurus, kepala di sengetkan sebelah dan kehadapan, tangan diletakkan diatas riba serta matra ditutup).
b. Sengetkan kepala ke kanan. Bayangkanlah segala kebimbangan, kemurungan dan kedukaan dalam yang dihadapi dibuang ke dalam tong sampah tepi pintu. Serta kosongkanlah fikiran daripada semua kebimbangan tersebut.
c. Luruskan kepala. Rasakan ianya seperti cahaya. Ulangi proses tadi berulang kali sekiranya masih wujud lagi perasaan kebimbangan dalam diri. Sekarang lemparkan senyuman diwajah secara perlahan-lahan dan fokuskanlah kepada pernafasan. Bernafaslah dengan tenang dan rasailah perasaan bercahaya didalam fikiran.
3.5.5 Teknik meditasi tindak balas pengunduran atau bersantai
a. Carilah tempat yang sunyi. Berilah penuh kesedaran terhadap emosi dan tindak balas fizikal terhadap tekanan. Kemudian, teliti dan imbaslah badan secara perlahan.
b. Bernafaslah dengan mendalam (sedutan nafas denga mendalam, berhenti sebentar dan hembuslah perlahan-lahan). Buangkan dan biarkanlah sebarang tekanan atau stress yang wujud dalam diri.
3.5.6 Teknik meditasi perkataan positif
a. Baringlah atau duduk dalam kedudukan yang selesa
b. Tutuplah mata dan bernafaslah dengan mendalam. Fokuskan perhatian terhadap pernafasan. Tandakan pergerakan bahagian-bahagian badan naik dan turun. Kosongkan atau buangkan segala kebimbangan, ketakutan dan pemikiran negatif daripada fikiran.
c. Semasa dalam penyedutan nafas, ucapkanlah “aman damai” kepada diri sendiri. Semasa hembusan nafas pula, ucapkanlah perkataan “tenang”. Lukiskan gambaran perkataan tersebut pada setiap pernafasan anda. Diulang dihingga merasa tenang.
Kesimpulannya, terdapat ciri-ciri yang sama terdapat dalam semua jenis meditasi iaitu suasana yang sunyi dan tenang, kedudukan badan yang selesa, menggunakan rangsangan mental yang diulang-ulang, sabar serta tidak tergesa-gesa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan